Wednesday, January 20, 2010

Mengenai Kami

KELAB PENCEGAHAN JENAYAH SMK PASIR PUTIH  (KPJ) telah ditubuhkan secara tidak rasmi pada awal 2002. Kelab ini telah diluluskan penubuhannya secara rasmi oleh Puan Fitriani Wahid, pengetua SMK Pasir Putih, Tawau pada 6 Januari 2003.

Atas menyahut seruan dan arahan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Sabah, Kelab Pencegahan Jenayah ditubuhkan dan digerakkan di peringkat SMK Pasir Putih, Tawau. Matlamat penubuhan kelab ini adalah untuk merangka, merancang dan menjalankan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah menengah khususnya SMK Pasir Putih, Tawau. Masalah Disiplin dalam kalangan remaja yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah menengah khususnya sangat merisaukan banyak pihak terutamanya Kementerian Pelajaran Malaysia.


Bak kata pepatah Melayu, ‘Api jika kecil menjadi kawan dan jika besar menjadi  lawan’. Justeru usaha mesti diwujudkan bagi menghadapi pelbagai cabaran yang semakin meluas dalam era ledakan pengaruh teknologi maklumat seperti  internet dan media masa di samping pengaruh rakan sebaya dan lain-lain pengaruh yang boleh menjadikan pelajar-pelajar sekolah menengah menjebakkan diri ke dalam kancah jenayah.


Kelab Pencegahan Jenayah SMK Pasir Putih, Tawau telah menjalankan usaha mencegah dan mengatasi masalah-masalah disiplin khususnya dan jenayah amnya.Usaha perlu dilakukan secara berterusan dan konsisten daripada semua pihak agar salah laku pelajar dapat ditangani secara menyeluruh dan bersepadu.


Pada tahun 2003, seramai 3 orang guru penasihat dan seorang penasihat pakar luar dilantik untuk menggerakkan kelab ini, iaitu En. Husain Usih (ketua), En. Arifa Kuraga dan En. Faris Bahatin. Manakala pegawai perhubungan polis yang dilantik sebagai penasihat pakar luar iaiah ASP Tuan Mahyuddin B. Abdullah, Pegawai Bahagian Trafik, Pejabat Polis Diraja Malaysia Daerah Tawau. Jumlah ahli pada tahun berkenaan ialah seramai 168 orang ahli yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.
Kelab Pencegahan Jenayah SMK Pasir Putih merancang dan telah menjalankan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan matlamat penubuhan kelab ini sejak tahun 2003. Sejarah tercipta pada tahun 2004 apabila sebuah pondok yang diilhamkan oleh Puan Fitriani Wahid, pengetua pada ketika itu telah dibina dan siap sepenuhnya pada Ogos 2004. Pondok ini dikenali sebagai ‘Pondok KPJ’ yang merupakan pusat pameran dan pencegahan jenayah, Kelab Pencegahan Jenayah SMK Pasir Putih, Tawau. Pada 5 Mei 2006, Dato’ Haji Ahamad B. Sipon, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah membuat lawatan Penandaarasan dan pemantauan ke Pondok KPJ SMK Pasir Putih, Tawau.




Di antara pencapaian Kelab ini ialah :
(1) Penghargaan Peringkat Sekolah :
1.    Menerima Anugerah Kelab dan Persatuan Terbaik Peringkat Sekolah 4 tahun berturut-turut iaitu tahun 2003, 2004, 2005 dan 2006.
2.    Menerima Anugerah Khas tahun 2004, Anugerah Kelab Terbaik tahun 2004 berdasarkan pencapaian yang membanggakan di peringkat sekolah, Daerah, Negeri dan Kebangsaan.

(2) Penghargaan Di Peringkat Gabungan Tawau :
1.    Membentangkan satu slot ceramah berkenaan pengurusan kelab dan pengendalian aktiviti kepada semua pengetua, penolong kanan Ko-Kurikulum dan semua guru penasihat kelab daerah Tawau yang diadakan di Hotel  Oriental pada tahun 2004.
2.    Menjadi penganjur Seminar Sehari dan Majlis Bantuan Kepada Ahli-Ahli Kelab     Pencegahan Jenayah Zon Tawau, Semporna, Lahad Datu, dan Kunak dirasmikan oleh Yang Berhormat, Datuk Dr. Maximus J. Ongkili, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
3.    Menerima Anugerah Pengurusan Terbaik Kelab Pencegahan Jenayah oleh Jabatan Pelajaran Gabungan Tawau sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang




(4) Penghargaan Di Peringkat Negeri :
  1. Dianugerahkan sebagai Kelab Pencegahan Jenayah Terbaik Peringkat Negeri Sabah pada tahun 2004 dari segi pengurusan kelab dan pengendalian aktiviti. Jabatan Pelajaran Negeri Sabah telah mencalonkan Kelab Pencegahan Jenayah SMK Pasir Putih untuk dilawati oleh Menteri Pelajaran, Dato’ Hishamuddin Hussein pada awal bulan Ogos tahun 2004.
(5) Penghargaan Di Peringkat Kebangsaan :
1.    Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil hampir 80 peratus isi kandungan modul  panduan perlembagaan KPJ yang dihasilkan oleh KPJ SMK Pasir Putih, Tawau Di antaranya ialah  Lagu ‘MARI CEGAH JENAYAH’, ciptaan En. Husain Usih, Ketua Penasihat KPJ SMK Pasir Putih, Tawau  sebagai lagu rasmi Kelab Pencegahan Jenayah peringkat kebangsaan dan digunakan oleh semua sekolah memengah di seluruh Malaysia.
            
                        
Moto KPJ, ‘MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MEMERANGI’.