Monday, February 1, 2010

Adab dan peraturan sekolah, perlu diikuti

(teks slot 5 minit cegah jenayah)           

          Adab dan peraturan memang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan seharian kita. Walau di manapun kita berada, kita mestilah patuh kepada adab dan peraturan yang telah ditentukan pada satu-satu keadaan dan situasi yang berbeza.


       Sebagai seorang pelajar, anda tidak terkecuali daripada mematuhi dan mengikut adab dan peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Sebenarnya adab dan peraturan  yang telah diwujudkan di sekolah bukanlah bermaksud untuk menyusahkan atau mengawal pergerakan pelajar, tetapi sebaliknya ialah untuk membimbing agar pelajar tidak bebas melakukan sesuatu perkara dengan sesuka hati. Secara tidak langsung, peraturan di sekolah dapat membentuk disiplin diri seseorang pelajar. Disiplin diri adalah penting sebagai panduan dan pengiring kejayaan seseorang pelajar dalam pelajaran.


      Pelajar yang mempunyai adab serta mengikut  peraturan membuatkan segala pengurusan masa dan aktiviti pelajar di sekolah dapat  berjalan dengan lancar. Pada hari ini KPJ akan mengutarakan berkenaan ADAB DAN PERATURAN YANG PERLU DIPATUHI OLEH SESEORANG PELAJAR sekolah ini, memandangkan kebanyakan di antara kita seakan-akan ingin lari dari mengikut adab dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Adab dan Peraturan yang ingin KPJ  fokuskan pada kali ini ialah Abad dan Peraturan KETIKA BERADA DI TAPAK  ATAU DEWAN PERHIMPUNAN untuk  dipatuhi dan diamalkan oleh kita semua sebagai seorang pelajar sekolah ini.

1. Adab dan Peraturan Di Tapak atau Dewan Perhimpunan :

            Biasanya sebelum memulakan sesi pembelajaran, semua pelajar dikehendaki berkumpul di tapak perhimpunan / di luar bilik darjah untuk mendengar pengumuman. Tanpa pelajar sedari terdapat juga adab dan peraturan di tapak perhimpunan iaitu :

>>Perhimpunan sekolah adalah pada setiap hari isnin dan merujuk kepada sekolah kita, perhimpunan diadakan 2 minggu sekali.

>>Perhimpunan sekolah merupakan acara rasmi sekolah. Semua pelajar dan guru diwajibkan menghadirkan diri.

>>Semua pelajar dikehendaki ke tempat perhimpunan mengikut kelas masing-masing dalam barisan, dalam keadaan tenang tidak bertolak-tolak dan tidak bising.

>>Apabila berada di tapak perhimpunan, pelajar perlu segera beratur mengikut kelas masing-masing mengikut peraturan barisan, yang rendah di hadapan dan yang tinggi di belakang.

>> Sebaik-baiknya ketua kelas atau penolong ketua kelas berdiri di hadapan

>> Semua pelajar hendaklah menadah tangan semasa doa dibacakan

>> Semasa menyanyikan Lagu Kebangsaaan, Lagu Negeri, Lagu Sekolah dan Lagu Kelab Pencegahan Jenayah, pelajar hendaklah menyanyi dengan penuh semangat, berdiri tegak dan pandang ke hadapan.

>>Semua pelajar dikehendaki mendengar dengan tekun dan memberi perhatian kepada ucapan-ucapan yang disampaikan semasa perhimpunan sama ada oleh  pengetua, penyelia petang,  guru-guru atau ketua pelajar semasa perhimpunan.

>>Semasa memasuki kelas pelajar-pelajar hendaklah mengekalkan suasana yang tenang.

>>Ketika Lagu Negaraku, Lagu Negeri, Lagu Sekolah dinyanyikan atau dimainkan, semua pelajar hendaklah berhenti berjalan, berdiri tegak dan senyap sebagai tanda menghormati lagu tersebut

>>dan semasa doa ketika dalam perhimpunan atau doa harian dibacakan, pelajar perlu menadah tangan, senyap dan menghayati isi kandungan bacaan doa tersebut.

      Rakan-rakan pelajar-pelajar  yang budiman, Cuba kita bayangkan keadaan sekolah kita jika semua pelajar  di sekolah ini  termasuk saya dan semua rakan-rakan pelajar yang ada dalam dewan ini tidak beradab dan tidak mengikut peraturan, sudah tentu sekolah kita akan jadi huru-hara, tidak ada matlamat,  tidak ada hala tuju, tidak ada visi dan misi.

      Bak kata pepatah, ’Masuk Kandang Kambing Mengembek, Masuk Kandang Kerbau  Menguak’.

Jadi, MARILAH KITA TANAMKAN DALAM DIRI KITA MULAI HARI INI,

  • Dari menjadi pelajar kurang beradab kepada pelajar lebih beradab,
  • Dari menjadi pelajar kurang mengikut peraturan kepada pelajar lebih patuh kepada peraturan, dan
  • Dari menjadi pelajar BUTA peraturan kepada pelajar yang lebih CELIK  peraturan,

SEKIAN DAN TERIMA KASIH.

1 respon setakat ini.:

Anonymous said...

ringkas tapi berguna..ramai pelajar lupa akan adab dan tingkahlaku ketika dalam majlis rasmi..mudah2an pelajar smkppt ada membaca artikel ni...praktikkannya..

Post a Comment