Pendahuluan :
ADAKAH SMK Pasir Putih Tawau, Sabah telah melahirkan generasi pelajar kurang berdisiplin dan kurang bermotivasi sehingga setiap masa pihak sekolah, khususnya Pihak Pentadbir dan Badan Pengawas perlu mengajar, memarahi, mendenda, mengambil tindakan disiplin seperti gantung sekolah, hukuman rotan serta mengadakan program demi program seperti Kempen Sifar Rokok, Kempen Menghormati Guru dan sebagainya ?
Kelab Pencegahan Jenayah cuba untuk merungkaikan persoalan-persoalan ini.
Persoalan :
Jika jawapannya ‘tidak’, kenapa pula pelbagai bentuk tindakan, hukuman atau dendaan serta pelbagai program perlu dilancarkan ? dan jika jawapannya ‘ya’, kenapa ia boleh jadi begitu?
Adakah pendidikan kita telah memberi lebih penekanan pada kejayaan akademik sehingga lupa kepada pembinaan sahsiah yang baik serta disiplin yang tinggi?
Hari ini, bermula di peringkat sekolah rendah, ternyata kita memberikan sanjungan yang berlebihan pada mereka yang berjaya dalam bidang akademik.
Suasana tidak menunjukkan bahawa mereka yang berdisiplin tinggi dan berakhlak mulia dijadikan contoh kepada kejayaan kepada pelajar-pelajar lain. Kini kekayaan dan kejayaan seseorang dari segi material dipandang tinggi tanpa melihat kepada peribadi mereka.
Tidak hairanlah jika kita melihat ada di kalangan pelajar kita yang mempunyai kedudukan tinggi dalam satu-satu bidang terlibat dengan rasuah.
Jika akhlak dipandang remeh, maka terjadilah apa yang kita katakan sikap kurang berdisiplin dan berakhlak membiak begitu sihat di kalangan kita.
Kita sering terbaca dan mendengar berita mengenai Mat Rempit langgar nenek tua. Kita terbaca kisah pelajar dipenjara kerana tuduhan rogol. Kita terbaca pelajar buli rakan. Kita terbaca pelajar pukul guru.
Malah di sekolah kita juga, suatu masa dahulu kita pernah dikejutkan dengan isu-isu di mana, pelajar menghina dan melempar seorang Mak Cik penjaga tandas, kita pernah dikejutkan dengan berita pelajar membuang ‘spender’ ke dalam tangki ‘flush’ tandas pelajar lelaki, kita pernah disajikan dengan isu papan tulis di kelas di koyak dan dirosakkan, kita pernah dihidangkan dengan kes pelajar kencing dalam kelas dan banyak lagi.
Kempen saja tidak memadai jika kebanyakan pelajar tingkatan 5, 4 atau 3 gagal menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik pelajar yang lain. Contoh yang baik datang dari diri kita sendiri. Bagaimana adik-adik pelajar tingkatan 1 atau 2 mahu menghormati abang atau kakak pelajar tingkatan 4 atau 5 jika mereka membuli atau menunjukkan contoh teladan yang kurang sopan. Pendek kata, tidak ada yang lebih indah melainkan ‘abang atau kakak hormat adik’ dan ‘adik hormat abang atau kakak’.
Hari ini pihak pentadbir mahupun guru-guru kita, merasa amat kecewa melihat kita kurang menghormati guru, kurang menunjukkan disiplin dan moral serta akhlak yang baik. Lebih-lebih lagi jika kita tidak menunjukkan perubahan sama ada perubahan prestasi akademik mahupun prestasi disiplin serta akhlak kita.
Apapun tindakan, hukuman, program atau kempen yang dilakukan oleh pihak sekolah, KPJ pasti, ianya hanya membazirkan wang pihak sekolah dan masa guru-guru sahaja jika semua pelajar yanag ada di sini terlasuk saya, gagal memberi dan menunjukkan penekanan sahsiah yang baik setanding dengan uasaha mencapai kejayaan akademik.
Anda mungkin setuju dengan pandangan saya bahawa guru-guru kita lebih bangga melihat seorang pelajar berkelulusan rendah tetapi mempunyai disiplin dan budi pekerti yang tinggi, daripada pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang tinggi tetapi bersikap ‘hidung tinggi’.
Malah pengetua kita, guru-guru pengawas dan semua guru akan bertambah bangga jika kita mampu memiliki prestasi pelajaran yang cemerlang dan memiliki akhlak yang gemilang.
Kesimpulan :
Jika ini berlaku, KPJ pasti dan amat pasti, guru-guru khususnya guru pengawas, tidak perlu lagi banyak membazirkan masa mereka untuk mengambil tindakan disiplin dan hukuman kepada kita yang sering melanggar peraturan sekolah dan pihak sekolah juga tidak perlu lagi membazirkan wang mengadakan pelbagai program membentuk sahsiah dan disiplin kita, malah masa guru dan wang sekolah boleh dihabiskan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi akademik kita.
Mungkin ini sesuatu yang terlalu ideal. Satu impian KPJ yang terlalu besar. Tetapi tanpa impian, kenyataan tidak akan kesampaian.
Marilah kita semua pelajar SMK Pasir Putih Tawau, jadikan disiplin dan akhlak yang baik sebagai satu wawasan menuju Visi dan Misi Sekolah iaitu (Melahirkan pelajar-pelajar gemilang akhlak).
KPJ mengakhiri slot ini dengan sebahagian kata-kata hikmah mantan pengetua, Puan Fitriani Wahid yang saya petik dari Buku Peraturan Sekolah untuk pedoman kita semua, yang berbunyi :
‘….……….Tanpa ‘peraturan’ pelajar-pelajar tidak ada hala tuju dan tidak mengetahui norma-norma sosial yang menjadi pegangan masyarakatnya………’.
SAMA-SAMALAH KITA BERHIJRAH:
- Dari kurang baik kepada baik
- Dari kurang bermoral kepada lebih bermoral,
- Dari kurang menghormati guru kepada lebih menghormati guru, dan
- Dari berfikiran negatif kepada berfikiran lebih positif
0 respon setakat ini.:
Post a Comment